• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Peruntukan RM1.2 Juta Atasi Hakisan Pantai Tanjung Gelam




Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan segera sebanyak RM1.2 juta bagi menyelesaikan masalah hakisan yang berlaku di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peruntukan bagi menyelesaikan masalah hakisan itu, sementara menunggu kajian serta reka bentuk oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu.

Katanya, pihaknya telah pun menerima peruntukan daripada Kerajaan Pusat namun kajian secara terperinci perlu dilakukan oleh JPS bagi mengelakkan kesan hakisan tersebut ke kawasan lain.

"Kita sudah ada peruntukan dari Kerajaan Pusat sebanyak RM40 juta untuk penyelesaian jangka masa panjang namun ia masih dalam proses kajian dan reka bentuk pemecah ombak yang sesuai agar hakisan tidak berlaku lagi di pantai tersebut.

"Apa yang telah dibuat di Pantai Tok Jembal iaitu sekitar Universiti Malaysia Terengganu dan Teluk Ketapang nampaknya berjaya meminimumkan kesan hakisan kawasan di dua pantai itu dan JPS telah mencadangkan agar dua pemecah ombak dibina juga di Pantai Tanjung Gelam,” katanya.


Beliau ditemui pemberita pada selepas merasmikan Penyambungan Terakhir Projek Jambatan (Stiching Slab) di Jambatan Pulau Sekati, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam; Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri,Ir. Rosli Othman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu, Ir Ab Hamid Md Daud.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata secara keseluruhannya, Kerajaan pusat telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM90 juta untuk mengatasi masalah hakisan di Pantai Tok Jembal, Teluk Ketapang dan Tanjung Gelam.

"Selain itu Jabatan Kerja Raya juga menyediakan peruntukan sebanyak RM30 juta, jadi nilai keseluruhannya ialah RM120 juta.

"Kerajaan negeri berharap peruntukan segera RM1.2 juta itu dapat membantu menyelesaikan masalah hakisan di Tanjung Gelam sementara JPS melantik kontraktor untuk pembinaan dua benteng pemecah ombak sebagai penyelesaian jangka masa panjang," katanya. 

Tag: