• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Peruntukan RM10 Juta Bangunkan Pelancongan Terengganu

KUALA NERUS, 8 April - Terengganu menerima peruntukan lebih RM10 juta bagi membangunkan industri pelancongan negeri ini untuk tempoh dua tahun iaitu 2020 dan 2021.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu merangkumi satu projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK-12 iaitu empat projek penyelenggaraan kemudahan pelancongan termasuk pemuliharaan bangunan warisan tahun 2020.

"Beberapa projek lagi berjalan tahun ini termasuk penyelenggaraan program homestay Malaysia dan tambahbaik infrastruktur serta promosi kampung budaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Siri Jerayawara (Roadshow) Dasar Perlancongan Negara (DPN) 2020-2030 Zon Pantai Timur di Hotel Raia, di sini, hari ini.

Siri Jerayawara DPN 2020-2030 melibatkan penggiat industri di Terengganu, Kelantan dan Pahang merupakan sesi ketiga diadakan selepas Sarawak pada Februari dan Zon Selatan iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor pada Mac.

Menurut  Nancy, Pulau Bidong Terengganu dipilih sebagai lokasi Mercu Tanda Mini Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) Bawah Air Pertama yang akan dilancarkan pada Jun depan.

Katanya, pelancaran mercu tanda itu akan diadakan sempena penganjuran ASEAN Seminar on The Preservation and Protection of Underwater Cultural Heritage pada 15 hingga 19 Jun nanti.

"Projek di bawah Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memaparkan 11 monumen mercu tanda dari setiap negara ASEAN yang ditempatkan di dasar laut pada kedalaman 10 hingga 15 meter.

"Antara monumen itu adalah Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur-KLCC (Malaysia), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei), Cambodia Independence Monument (Cambodia), Patuxai Monument (LAOS), Indonesia National Monument (Indonesia) dan Shwedagon Pagoda (Myanmar).

"Turut dipaparkan nanti adalah Joe Rizal Monument (Republik Filipina), Merlion (Singapura), Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan (Thailand), Tran Quoc Pagoda (Vietnam) dan ASEAN Secretariat (ASEAN)," katanya.

Jelas Nancy, projek yang menelan kos sebanyak RM265,000 di bawah pembiayaan Tabung Kebudayaan ASEAN itu akan menjadi platform bagi perkongsian ilmu dan pertukaran budaya di antara negara-negara ASEAN. 

"Ia juga bakal menjadi produk pelancongan budaya baharu yang akan merancakkan ekonomi dalam sektor pelancongan dan kebudayaan di samping meningkatkan lagi visibiliti dan imej Malaysia di mata dunia," katanya.


Tag: