• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Peruntukan RM5 Juta Selesai Banjir Di Taman Ajil Perdana


Kerajaan negeri akan memperuntukkan sehingga RM5 juta untuk menaik taraf 'Monsoon Drains' atau longkang di Taman Ajil Perdana, Ajil, Hulu Terengganu bagi menyelesaikan masalah limpahan air banjir di kawasan tersebut.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) perlu membuat kajian teknikal bersama Yang Dipertua Majlis Daerah dan mengemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu( UPEN).

"InsyaAllah, kita akan ambil tindakan dan saya beri jaminan di sini jika saya dapat keputusan segera daripada teknikal ini maka perlaksanaan untuk selesaikan masalah isu 'Monsoon Drain' akan dijalankan segera.

"Ini adalah salah satu perkara yang jadi keutamaan rakyat dan semoga selepas ini masalah banjir dapat dikecilkan seberapa yang boleh," kata Ahmad Razif.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Perjumpaan bersama Kakitangan Awam/Swasta Dan Pihak Berkuasa Tempatan di Dewan Sivik Ajil sempena Program Turun Padang ke Dewan Undangan Negeri Ajil, hari ini.

Kira-kira 2,000 kakitangan awam dan swasta serta pihak berkuasa tempatan hadir mendengar amanat yang disampaikan oleh Menteri Besar.

Sementara itu, Ahmad Razif juga akan mendapatkan bajet daripada Kerajaan Pusat bagi mendalamkan muara Sungai Kuala Berang bagi memudahkan laluan kapal dan mengurangkan masalah banjir yang sentiasa berlaku.

"Untuk mendalamkan muara sungai ini,saya juga menunggu laporan teknikal daripada JPS dan lepas dah dapat laporan terperinci,saya akan cuba dapatkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

"Muara sungai ini mempunyai potensi besar untuk industri pelancongan kerana satu masa dahulu kapal boleh mudik dari muara Sungai Terengganu ke muara Sungai Berang.

"InsyaAllah, kita akan mulakan balik kegemilangan ini jika kita dalamkan sungai tersebut dan majukan industri pelancongan di daerah ini," katanya lagi.

Tag: