Royalti Petroleum : Kerajaan Perpaduan Lebih Teruk Daripada Kerajaan PH
Perutusan Hari Raya Aidiladha 1441H 2020M Menteri Besar Terengganu Darul Iman
Erti Pengorbanan Di Saat Getir
Bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah rahmat-Nya yang tidak terhitung, kita masih lagi diberi peluang meraikan Hari Raya Aidiladha pada tahun yang mencabar ini.
Sambutan Aidiladha tahun ini amat signifikan kepada umat Islam di dunia termasuk di Malaysia apabila berhadapan serangan virus pandemik COVID-19 menuntut pengorbanan di saat yang getir.
Amat menyedihkan bagi umat Islam terpaksa berkorban apabila tidak dapat menunaikan ibadah haji yang menjadi rutin tahunan bagi yang berkemampuan.
Walaupun Malaysia kini di ambang pemulihan, ramai yang masih terkesan akibat kemerosotan sektor tertentu sekali gus menjejaskan sosio-ekonomi rakyat terutama golongan B40 dan sebahagian M40.
Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional bersama Kerajaan Negeri sudah pasti ingin mencari solusi terbaik menyelesaikan isu-isu kelangsungan hidup rakyat sehingga pulih ke tahap yang normal.
Kami sedar, walaupun ada keputusan tidak popular dan tidak digemari, tapi itulah pengorbanan yang terpaksa dilalui demi kebaikan kita bersama.
Ia menuntut pengorbanan semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama dengan sifat kesabaran, semangat perpaduan dan kesatuan untuk mengembalikan kestabilan serta menjamin keselamatan negara.
Apatah lagi umat Islam yang menyambut Aidiladha setiap tahun sepatutnya lebih menghayati erti pengorbanan ini dan digalakkan untuk berkongsi serta membantu antara satu sama lain.
Bermula tahun ini juga, Terengganu telah mengisytiharkan cuti Hari Arafah yang merupakan negeri pertama merintis inisiatif ini agar kita dapat pengajaran melalui sirah Nabi Muhammad SAW.
Selamat pulang ke kampung halaman dan berhati-hati di jalan raya. Saya mewakili Kerajaan Negeri Terengganu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Terengganu.
Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mencurah bakti, masa dan tenaga serta segala pengorbanan selama kita mengharungi saat getir sepanjang tahun ini.