• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pesaka Optimis Tingkatkan Keuntungan Kerajaan Negeri



Oleh : Adli Mohamad.

DUNGUN, 5 November- Pesaka Terengganu Berhad(PTB) yang merupakan anak syarikat kerajaan Terengganu optimis tingkatkan keuntungan ke arah memberi pulangan maksimum kepada negeri dan rakyat.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang telah dilantik menjadi  Ahli Lembaga Pengarah Pesaka Terengganu Berhad berkata, PTB merupakan salah satu anak syarikat Golden Pharos mampu mengukuhkan prestasi dan menjana keuntungan yang lebih besar.

"Ini kita dapat lihat dari hasil keuntungan yang diperolehi pada tahun ini, amat memberansangkan, setelah mengalami kerugian pada tahun-tahun yang lepas, melalui prestasi yang dinilai melalui suku ketiga tahun ini berbanding suku ketiga tahun lepas.

"Alhamdulillah, saya optimis dan cukup yakin bahawa Pesaka Terengganu Berhad akan mengorak langkah lebih jauh ke hadapan dengan perlantikan Ahli Parlimen Dunggun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah.

"Dan saya turut akan membantu apabila dipertanggungjawabkan, dengan perlantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Lembaga Pengarah Pesaka Terengganu Berhad," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, ketika membuat lawatan ke Kilang Papan Pesaka Bukit Besi, pada Ahad, 4 Oktober.


Menurutnya lagi, tenaga kerja yang menguasai Pesaka Terengganu Berhad adalah seramai 244 orang iaitu terdiri dari 88 orang pekerja tetap dan 156 orang merupakan pekerja kontrak.

"Melalui pekerja yang sedia ada kita akan cuba meningkatkan produktiviti dan pada tahun ini, dijangkakan kilang akan tetap beroperasi pada Disember yang mana pada tahun lepas,  operasi dihentikan pada bulan yang sama.

"Dengan stok bekalan yang ada, maka operasi akan tetap diteruskan. Maka sudah tentu akan meningkatkan hasil yang lebih baik berbanding tahun-tahun lepas," kata Ghazali.

Sehubungan itu beliau turut memaklumkan, beberapa langkah telah diambil bagi mencapai target keuntungan syarat berkenaan.

"Dibawah Golden Paros ini, diantara anak syarikat bersamanya, ialah Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT), Permint Plywod, Pesama Timber Corporation  dan pada tahun ini balak gred B, akan turut dieksport ke luar negara,"katanya.

Tag: