• 12 Mei 2024 | 4 Zulkaedah 1445

Pesaka Platform Bina Anak Bangsa, Bukan `Terlebih Ganas'


KUALA TERENGGANU, 8 Januari  – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Terengganu mahu menjadi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membina generasi bergelar juara pada masa akan datang.

Setiausahanya, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, mereka mahu kerajaan negeri melihat dan menyokong persatuan Pesaka sebagai platform membina anak bangsa bukannya menjadi lebih ganas.

“Kita nak tengok supaya kerajaan negeri memandang kita sebagai NGO yang aktif, yang membina manusia, bukan membina manusia menjadi ganas (tetapi) bina manusia sayangkan diri dan bangsa dia serta sayangkan negerinya.

“Ini peranan kita selain daripada sekolah. Ini budaya ayang kita nak. Besar (tanggungjawab) kita sebenarnya. Pertama pertahankan diri dan kedua bina insan. Membina akal budi bangsa.

“Kita minta sokongan daripada kerajaan negeri. Kalau bangsa kita tak kenal budaya kita, pada masa akan datang tak tahu macammana sebab melalui budaya dia (rakyat) akan  kenal bangsa,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Katanya, Pesaka di seluruh negeri bermula dari Kemaman sehingga Besut termasuk perguruan silat yang bergerak individu adalah berdaftar menerusi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Menurut beliau, dalam mesyuarat agung baru-baru ini mereka turut membawa beberapa usul kerajaan negeri antaranya membina semula gerbang persilatan di Majlis Sukan Negeri Terengganu, setiap persatuan persilatan mempunyai gelanggang sendiri serta bantuan `one-off' setahun untuk jurulatih perguruan persilatan dan geran untuk pentadbiran Pesaka negeri.

“Sekarang ini kita merancang buat satu profil persatuan pertubuhan kita dengan kerjasama Pelancongan Negeri Terengganu. Kita akan ambil gambar-gambar yang ada gelanggang dan sekarang kita akan buat bentuk profil untuk memberitahu kepada umum mengenai kemudahan gelanggang itu.

“Yang pertamanya boleh budak-budak pergi belajar silat di gelanggang berkenaan.Kedua mungkin pelancong-pelancong boleh mari untuk tengok kebudayaan sihat di Negeri Terengganu di tempat gelanggang kita itu,” jelasnya.

Tambah Fakhrul lagi, Pesaka yang ditubuhkan pada 1985 sudah mampu melahirkan ramai juara dunia yang berasal  dari  Terengganu mewakili seni mempertahankan diri itu.

“Hari ini kita nak atur jawatankuasa dan nak lantik setiausaha serta bendahari baru jadi kita minta insentif daripada kerajaan negeri kepada Siti Rahmah Mohamed Nasir (pesilat kebangsaan), Majlis Sukan Negeri Terengganu memang dapat insentif, tapi insentif daripada kerajaan kepada dua jurulatih, (masing-masing) jurulatih Malaysia dan jurulatih Kazakhstan.

“Kita nak minta empat jabatan jadi ex-official Pesaka negeri, iaitu Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebudayaan, Jabatan Majlis Belia dan Sukan Negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam),” katanya.

Sementara itu Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali berkata, beliau yang baru dilantik sebagai Pengerusi Pesaka Negeri dalam Mesyuarat Agung Negeri Pesaka kali ke-17, di Muzium Negeri Terengganu, 29 Disember lalu akan memastikan seni mempertahankan diri itu terus utuh dan perkasa di negeri serta ke peringkat dunia.

“Hasil mesyuarat agung baru-baru ini, antaranya pelantikan Yang Dipertua, Timbalan, tiga orang naib dan hari ini kita hendak mengesahkan jawatankuasa adalah sama ada pengerusi ataupun wakil  badan-badan gabungan dalam persatuan silat sebanyak 22 persatuan silat dalam persatuan silat negeri Terengganu,”tambah beliau lagi.









Tag: