• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Pesakit Wad Kelas Ketiga Terengganu Bakal Nikmati Caj Percuma Bila-Bila Masa

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Kerajaan negeri memberi jaminan pesakit wad kelas ketiga di hospital milik kerajaan di seluruh Terengganu akan menikmati caj perubatan secara percuma bila-bila masa sahaja dari sekarang bermula bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, kemudahan tersebut disediakan khusus kepada rakyat Terengganu yang menjadi pesakit wad kelas itu tanpa mengira golongan.

"Persetujuan telah dicapai antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri mengenai perkara ini sebelum ini. Di peringkat kita semua persiapan telah dibuat, hanya tinggal menunggu surat rasmi dari Putrajaya bagi pelaksanaan serta-merta.

"Kita jangkakan dalam masa beberapa hari lagi perkara ini akan selesai dan berjalan serta-merta insya-Allah dalam bulan ini juga," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Caj percuma pesakit wad kelas ketiga adalah satu daripada 20 perkara yang dijanjikan oleh PAS Terengganu dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Ia akan dilaksanakan di enam buah hospital di seluruh negeri Terengganu membabitkan Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu serta hospital di Dungun, Setiu, Besut, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM5 juta setahun untuk pelaksanaan caj percuma bagi wad kelas ketiga demi meringankan beban rakyat negeri Terengganu yang berpendapatan rendah terutamanya.

Untuk rekod, caj wad kelas ketiga yang dibayar pesakit di hospital di negeri ini berjumlah RM3.89 juta dengan jumlah seramai 84,946 pesakit pada 2017 dan RM3.6 juta membabitkan 76,206 pesakit pada 2018.