• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pesara Perlu Manfaat Pengalaman Bantu Kerajaan

KUALA TERENGGANU, 22 Mei - Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia disaran untuk terus menjadi denyut nadi kestabilan kerajaan dalam membekalkan idea-idea positif yang dijana melalui pengalaman lalu sepanjang berkhidmat sebagai penjawat awam. 

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali berkata, walaupun sudah berusia dan bersara, masih lagi boleh membantu kerajaan dalam memberi pandangan untuk kebaikan bersama.

"Apa yang penting ialah pengalaman kita yang dalam pelbagai bidang, tidak kira perjawatan kita sebagai pegawai takbir di peringkat federal atau negeri, badan berkanun atau guru ianya ialah pengalaman hidup yang boleh membantu kerajaan dalam memberi pandangan.

"Kerajaan negeri mengiktiraf NGO Persatuan Pesara Kerajaan sebagai 'stakeholder' yang mana kita mahu manfaatkan pengalaman yang ada itu sebagai pemberian imput kepada kerajaan dalam pelbagai cara dan ruang yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Bahagian Negeri Terengganu Kali ke-30 di Dewan Teater Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut sama hadir dalam majlis tersebut, Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Dato' Syed Abu Bakar Abdullah, dan Timbalannya, Abdullah Mamat.

Dalam pertemuan ini juga, hadiah penghargaan daripada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia telah disalurkan kepada beberapa orang pesara, ianya sebagai penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam memberi perkhidmatan yang terbaik selama berkhidmat.