• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Peserta 'Himpunan Kontroversi' Bina Rumah Rakyat Secara Percuma

HULU TERENGGANU, 20 Februari - Beberapa peserta Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 yang dipalit kontroversi berjaya membina dan menyiapkan sebuah rumah keluarga kurang bernasib secara percuma semalam.

Salah seorang peserta terbabit, Mohd Hafizuddin Ramli, 31 berkata, sejurus selepas majlis perasmian pembukaan Himpit 2023 berakhir, dia terus ke Kampung Durian Kasim di sini bagi membantu membina rumah itu.

"Ini misi kami kali keenam, sebelum ini kami membina rumah mangsa banjir di Kampung La, Besut, Pahang dan Kedah.

"Segala keperluan pembinaan kami cari sendiri dengan wang sumbangan orang ramai melalui Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu dan GTN Care, alhamdulillah kami siapkan dalam masa tiga hari.

"Selepas siap bina, kami masukkan perabot asas seperti sofa, mesin basuh, peti sejuk dan kelengkapan bilik tidur, tuan rumah hanya masuk dan menginap tanpa perlu bayaran apa-apa," ujarnya.

Mohd Harun (belakang, dua dari kiri) menyerahkan replika kunci rumah.

Dia berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan replika kunci rumah oleh Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa dan Pengerusi Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu, Mohd Asmawi Mukhtar.

Sementara, menurut Mohd Asmawi yang  bertindak sebagai pengarah pembinaan rumah itu, masa tiga diberikan kepada petugas untuk menyiapkan rumah itu.

Katanya, proses pembinaan bermula pada pagi Jumaat dan diteruskan sehingga lewat malam.

"Sebuah rumah ini menelan kos lebih RM40,000, petugas pula tidak dibayar sebarang upah, masing-masing atas kerelaan sendiri.

"Usaha ini bagi meringankan beban tujuh beranak yang tidak ada tempat berteduh, ketua keluarga pula hanya 'kerja kampung', kami juga mendapat kerjasama baik daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Ustaz Maliaman Kassim," katanya.

Hafizuddin (kanan).

Bagi, Mohd Hasmizan Mohd Nor, 23, dia berkata pengalaman membina rumah memang mengujakan apatah lagi tanpa sebarang bayaran dan perlu disiapkan dalam masa singkat.

"Pada awalnya saya tak percaya juga nak siapkan rumah dalam masa singkat, namun alhamdulillah, diri sendiri jadi saksi, dengan bantuan lebih 50 sukarelawan ahli persatuan, kami berjaya," ujarnya.

Ditanya mengenai kontroversi yang melanda Himpit, dia berkata ia hanyalah mainan pihak tidak bertanggungjawab yang ketandusan isu.

"Himpit dah lama diadakan, perarakan atau replika dibina berdasarkan tema dan sejarah Islam, himpunan pula tak ajar kami jadi pengganas, sebaliknya ajar kami buat baik dengan semua orang atas nama Islam, macam kami buat rumah ini untuk rakyat," katanya.

Antara peserta Himpit yang turut terlibat membina rumah keluarga miskin.

Terdahulu, program Himpit dilanda kontroversi apabila wujud pihak tertentu yang mengatakan aktiviti tersebut berunsur keganasan.

Polis Terengganu pula mengesahkan gambar yang tular di media sosial yang disyaki anjuran sebuah parti politik adalah acara perarakan pakaian, replika senjata dan warisan Islam.


Tag: