• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pesta Candat Sotong Kembali Meriah

MARANG,15 Julai - Pesta mencandat sotong di Terengganu kembali meriah apabila seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam penganjuran kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata Marang sekali lagi menjadi tuan rumah pada tahun ini kerana mempunyai daya tarikan tersendiri serta terkenal di kalangan pelancong asing dengan aktiviti itu.

Katanya, hadiah bernilai RM5,000 ditawarkan kepada pemenang dalam fiesta kali ini.

 "Apabila tiba musim mencandat, orang ramai yang terdiri daripada pengunjung telah membuat tempahan bot untuk merasai sendiri pengalaman mencandat sotong di tengah laut.

"Acara tahunan ini juga yang secara tidak langsung mempromosikan negeri Terengganu sebagai destinasi tumpuan pelancong bagi merasai pengalaman mencandat sotong," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Fiesta Candat Sotong di Jeti LKIM, Marang di sini hari ini.

Selain itu, menurut Ariffin, pengusaha bot di sini turut menawarkan pakej mencandat 'experience tourism' dengan harga serendah RM800 semalaman bagi sebuah bot dengan kapasiti 10 penumpang.

"Pakej ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk tempatan menerusi aktiviti rantaian pelancongan.

“Penganjuran selama tiga hari ini akan diadakan di dua lokasi, iaitu di Pusat Rekreasi Pulau Kekabu dan majlis perasmian dan pelepasan peserta akan diadakan pada 15 Julai 2022 (Jumaat) di Jeti LKIM, Marang,” ujarnya. 

Tambah Ariffin, di Pulau Kekabu pelbagai pengisian aktiviti berkaitan pelancongan dan kebudayaan seperti silat, gamelan, persembahan busking lagu rakyat, permainan tradisional, serta jualan produk-produk IKS turut diadakan.

"Ia bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam bermula 14 Julai hingga 16 Julai 2022.

“Untuk rekod, Program candat sotong Terengganu pernah diiktiraf sebagai Program Pelancongan Terbaik pada tahun 2019 daripada Majlis Pelancongan Malaysia,” katanya.