Pesta Moreh : PBT, Agensi Agama Cari Penyelesaian Terbaik
KUALA TERENGGANU, 18 April – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Terengganu telah mengambil langkah proaktif dalam menimbang dan meluluskan penganjuran Pesta Moreh sepanjang Ramadan dengan memastikan setiap aktiviti mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, semua permohonan penganjuran Pesta Moreh telah dinilai dengan teliti berpandukan peraturan sedia ada seperti Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002, Kaedah-Kaedah Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2003, dan Undang-Undang Kecil Penjaja PBT.
“Penganjuran pesta moreh ini adalah bagi merancakkan ekonomi setempat dan membantu kewangan peniaga-peniaga kecil untuk terus berkembang.
“Penganjuran pesta moreh ini selain daripada aktiviti perniagaan makanan juga turut diserikan dengan pengisian aktiviti hiburan seperti busking,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin.
Menurutnya, susulan beberapa pandangan yang dibangkitkan berkenaan elemen hiburan dalam pesta tersebut, kerajaan negeri memaklumkan bahawa satu sesi libat urus akan diadakan.
“Sesi ini akan melibatkan persatuan busker, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah serta pihak-pihak berkepentingan yang lain,” katanya.
Pada masa yang sama jelas beliau, Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah sedang dalam proses membuat kajian semula terhadap garis panduan hiburan sedia ada.
“Garis panduan yang dikemas kini ini dijangka menjadi rujukan rasmi PBT dalam menilai sebarang permohonan aktiviti hiburan pada masa akan datang,” tambah Wan Sukairi.
.