• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pesta Peranakan Cina Tonjol Perpaduan Kaum di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Pesta Peranakan Cina menjadi bukti perpaduan antara kaum sentiasa subur di bumi Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri sentiasa menjaga tradisi dan budaya yang diamalkan oleh masyarakat Cina di negeri ini.

Dalam sambutan itu, beliau menyasarkan seramai 10,000 pengunjung hadir ke program berkenaan.

“Program tersebut berlangsung selama tiga hari bermula dari 9 hingga 11 Oktober itu dihidangkan dengan pelbagai persembahan kesenian dan pameran.

“Antara pameran yang dihidangkan adalah pakaian Han Fu, pakaian Kebaya Potong Kot, batik lukis motif Peranakan dan lain-lain lagi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Pesta Peranakan Cina Terengganu 2023 bertempat di Centre Atrium, KTCC di sini semalam.

Tambah Razali Idris, beliau berharap agar program itu dapat memberi perspektif dan ilmu baharu kepada masyarakat terhadap keunikan Peranakan Cina Terengganu.

“Semoga semua tetamu yang hadir mendapat manfaat daripadanya. 

"Konsep budaya dan masyarakat memang tak boleh dipisahkan, ibarat kata pepatah melayu, bagai aur dengan tebing, begitulah keakraban hubungan kedua-dua entiti ini. 

"Kepelbagaian budaya bukanlah menjadi penghalang hubungan kaum di negara ini.

“Saya juga mengharapkan program ini diadakan secara berterusan dan dengan skala yang lebih besar terutamanya bagi menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026," ujarnya.

Untuk rekod, peranakan Cina adalah segolongan keturunan kaum Cina yang unik kedudukannya di kalangan kaum Cina di dalam kumpulan etnik yang dinamakan Peranakan yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu.

 


Tag: