10 Keluarga di Pulau Redang Terima Rumah Pemberian Kerajaan Negeri
BESUT, 17 April - Simpati dengan nasib yang menimpa 724 petani, penternak dan pengusaha ikan sangkar akibat musibah banjir, kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan berjumlah RM891,880 kepada mangsa bencana terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan itu dimasukkan ke dalam akaun masing-masing bermula hari ini.
Katanya, kesemua yang layak telah ditapis oleh Jawatankuasa Tabung Bencana Pertanian Terengganu.
"Saya kira rakyat sangat beruntung kerana Terengganu satu-satunya negeri yang mempunyai Tabung Bencana Pertanian sendiri.
"Dalam masa yang sama kita turut berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang turut menghulurkan bantuan melalui jabatan dan agensi yang berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Penyerahan Bantuan Bencana Pertanian 2023, di Dewan Sivik Jabi, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pertanian negeri, Dato' Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr Anun Man.
Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, daripada 743 memohon untuk mendapatkan bantuan berkenaan, 19 daripadanya ditolak kerana tidak cukup syarat.
"Antaranya sebagai contoh sektor penternakan lembu yang diternak secara lepas bebas, ada juga yang mengemukakan kepada kita angka sehingga beratus-ratus ekor tetapi tidak dinyatakan secara jelas di mana lembu itu ditenak.
"Kita tidak mengiktiraf kaedah penternakan seperti itu. Antaranya lagi permohonan ditolak kerana tidak mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan seperti tidak membuat laporan polis, selain itu juga perlu menunjukkan gambar di tempat berlakunya kejadian.
"Sebab kita menguruskan ramai rakyat, ada yang jujur serta ada yang mengambil kesempatan, kerana itu kita menetapkan peraturan walaupun dilihat agak menyusahkan tetapi dilaksanakan untuk kita menjaga kepentingan semua pihak," ujarnya.
Untuk rekod, sektor pertanian Terengganu mengalami kerugian paling teruk dalam tempoh lima tahun akibat banjir besar pada 18 Disember lepas, setelah kali terakhir mengalaminya sebelum itu pada Februari 2022 yang hanya mengakibatkan sekitar RM2 juta.