• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Petani Terkesan Banjir Diarah Buat Aduan

KUALA TERENGGANU, 26 November – Para petani yang terkesan dengan bencana banjir diminta membuat aduan kepada jabatan berkaitan beserta laporan polis mengenai kerugian hasil pertanian mereka bagi memudahkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan bersesuaian termasuk dari tabung bencana pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata ianya susulan beberapa daerah terlibat dengan kemusnahan hasil pertanian kerana banjir termasuk di daerah Besut.

Katanya, beliau tidak menafikan berlakunya kemusnahan dan kerosakan kepada kebun, ladang, sawah dan sektor akuakultur maka kerajaan negeri akan pertimbangkan untuk memberi bantuan kepada mereka terlibat.

“Semua petani dan penternak diarah membuat laporan kepada jabatan berkaitan dan laporan polis untuk sebahagiannya kita (kerajaan negeri)  pertimbangkan (untuk salurkan bantuan) di bawah Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu dan sebahagian lagi kita akan angkat kepada Kerajaan Persekutuan.

"Namun sehingga kini, kerajaan negeri belum lagi mendapat data yang lengkap berhubung dengan kemusnahan hasil tanaman pertanian tersebut dan anggaran kerugian belum lagi diperhalusi," ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Hari Pertanian Bandar @Tranung Jabatan Pertanian Negeri Terengganu di sebuah hotel di sini semalam.

Turut hadir di sidang tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Ustaz Hilmi Harun dan Pengarah Pertanian Negeri, Dato' Zulkepli Amin Mat Jusoh.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata beliau dan Dato’ Zulkepli Amin turun padang untuk meninjau sendiri kesan banjir terhadap tanaman penduduk baru-baru ini termasuk tanaman padi di daerah Besut.

Menurutnya, kawasan penanaman padi terjejas  berlaku di beberapa skim pengairan (SP) di daerah itu termasuk SP Bukit Jeruk dan SP Gong Macang yang melibatkan lebih daripada separuh padi yang belum dituai telah musnah.

Tambah Dr Azman lagi, kerajaan negeri juga belum dapat mengenalpasti kerugian hasil pertanian di daerah lain yang turut dilanda banjir baru-baru ini.

“Semua petani dan penternak terlibat akan dikenalpasti dan kerugian tanaman dan ternakan mereka akan diperhalusi,” ujarnya .

 


Tag: