Hapus Sekatan Ekonomi Syria : Strategi Politik Atau Perangkap Baharu AS?
Petugas PKM Perlu Fahami Tugas Dan Tanggungjawab
KUALA TERENGGANU, 19 Februari – Semua petugas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di negeri ini perlu memahami tugas serta peranan masing-masing agar matlamat organisasi dicapai sebaiknya.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Ridzuan Hashim berkata, ini kerana PKM antara saluran yang membantu rakyat berhubung dengan agensi luar dalam menyelesaikan urusan dan permasalahan yang dihadapi.
“Setiap orang (petugas) ada bidang dan tanggungjawab masing-masing, apa yang harus dilaksanakan adalah memastikan ia dapat memenuhi aspirasi rakyat.
“Selain dari ilmu dan faham apa yang nak dibuat, kena ada kemahiran, kena ada kaedah yang tertentu, termasuklah kemahiran dari sudut komunikasi, bagaimana kita nak berhadapan dengan masyarakat ataupun rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kita.
“Paling utama kita nak jadi pemudah cara kepada rakyat, membantu rakyat berurusan dengan agensi yang sangat dekat dengan mereka seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, Tabung Darul Iman dan agensi-agensi lain yang berkait rapat dengan rakyat untuk kemudahan dan kebaikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Induksi Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Negeri Terengganu Tahun 2025 yang dianjurkan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) di Ar Riyadah Residence Kuala Terengganu, di sini , baru-baru ini.
Ridzuan berkata, perlaksanaan kerja yang berkualiti adalah bergantung kepada beberapa faktor termasuklah ilmu dan kefahaman yang betul terhadap pekerjaan tersebut.
”Ada orang dia ada ilmu, tapi dia tak faham, dan ada orang yang dia faham tapi tidak tahu macam mana nak laksanakan.
“Maka hari ini kita nak bagi ilmu dan seterusnya dapat memahami bagaimana untuk dilaksanakan,” ujarnya.