• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Piala Cabaran : TFC II Berdepan Laluan Sukar Pertahan Kejuaraan

Foto ihsan - MFL

KUALA TERENGGANU, 23 Julai - Juara Piala Cabaran 2018, Terengganu FC II (TFC II) berdepan laluan sukar selepas diundi dalam kumpulan B bersama naib juara musim lepas, UKM FC selain dua pasukan lain iaitu Selangor United dan pasukan Liga Super, Kuala Lumpur bagi saingan 2019.

Dalam undian yang diadakan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) itu, naib juara Liga Premier 2019, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pula bakal berentap bersama pasukan Kelantan dan Sarawak dalam aksi kumpulan A.

Mengikut format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan, layak ke peringkat separuh akhir, dengan aksi awal kumpulan akan bermula pada 6 Ogos ini.

Dua pasukan yang mara ke perlawanan akhir akan berentap dengan menggunakan format timbal balik pada 6 dan 12 Oktober nanti.

Untuk rekod, TFC II menewaskan UKM FC menerusi keputusan agregat 4-2 untuk meraih kejuaraan sulung Piala Cabaran pada musim lepas.

Kejohanan Bola Sepak Piala Cabaran diperkenalkan buat julung kali oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada musim lepas bagi memastikan pasukan yang gagal layak ke Piala Malaysia tidak ketinggalan dalam aksi kompetitif sehingga penghujung musim.

Ia sekaligus berjaya mengekalkan dan meningkatkan konsistensi semua pasukan dalam Liga Malaysia sebelum aksi musim baharu bermula.

TFC II muncul juara pada edisi sulung musim lalu.


Tag: