• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Piala FA: Terengganu FC Mara Ke Separuh Akhir

KUALA NERUS, 27 Mei- Terengganu FC mara ke peringkat separuh akhir Piala FA 2023 setelah menang 4-2 ke atas seteru pantai timur, Kelantan FC pada aksi suku akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini.

Biarpun beraksi buat kali pertama pada waktu petang, anak-anak buah Tomislav Steinbruckner mempamerkan corak permainan agresif dan tidak menunggu lama untuk mencetak gol pertama perlawanan.

Azam Azmi Murad mencetak nama selaku penjaring gol pertama menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti pada minit ke-17, setelah menerima hantaran Liridon Krasniqi.

Pada minit ke-28, tuan rumah hampir menjarakkan kedudukan apabila penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang menerima hantaran Sony Norde melakukan sepakan 'volley' cantik melepasi kawalan penjaga gol pelawat, Nik Mohd Amin Ahmad.

Namun, jaringannya dibatalkan pengadil setelah beliau didapati berada pada kedudukan 'offside' terlebih dahulu.

Majoriti penguasaan bola dimiliki Terengganu FC yang lebih banyak merencana serangan.

Memasuki minit ke-41, Ivan berjaya merampas bola dari pertahanan Kelantan FC sebelum meledak jaringan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Tiga minit berselang, The Red Warrior kembali menghidupkan harapan penyokongnya setelah penyerang, Ismaheel Akinade merapatkan kedudukan menerusi rembatan leret melepasi Suhaimi Husin, hasil kesilapan barisan pertahanannya yang terlepas bola.

Separuh masa pertama tamat dengan Sang Penyu di harapan berbekal kelebihan satu jaringan.

Memasuki babak kedua, Terengganu FC meningkatkan momentum serangan bagi menjarakkan kedudukan.

Pada minit ke-52, Sony Norde yang menerima bola dari Habib Haroon menggelecek pertahanan dan penjaga gol lawan sebelum menolak masuk bola ke gawang untuk gol ketiga Sang Penyu.

Bagaimanapun, Kelantan FC kembali bangkit merapatkan jurang apabila Ismaheel menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-63 setelah kapten pasukannya, Mario Arques Blasco dijatuhkan Muhammad Shahrul Nizam.

Ketika kedudukan seakan-akan berakhir tanpa jaringan tambahan, Mohd Syafik Ismail berjaya menewaskan dua pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk gol terakhir perlawanan pada minit ke-81.

Keputusan yang berpihak kepada Terengganu FC menyaksikan gergasi pantai timur itu sekali lagi lolos ke peringkat separuh akhir Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.

Sang Penyu bakal menanti lawan seterusnya antara Sabah FC dan Kuala Lumpur City FC yang akan berentap esok.

 


Tag: