• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Piala Malaysia 2019 : Kedah Saingan Sukar Terengganu FC

Foto Ihsan - Media TFC
KUALA TERENGGANU, 23 Julai - Terengganu Footbal Club (TFC) berdepan laluan mencabar dalam merebut kejuaraan Piala Malaysia 2019 selepas diundi dalam Kumpulan A bersama juara lima kali, Kedah FA.

Turut berada satu kumpulan dengan TFC ialah Negeri Sembilan yang pernah menjadi pemusnah harapan Terengganu pada 'final' Piala Malaysia 2011 selain pasukan bimbingan K. Rajagopal, PKNS FC.

Sementara itu, pada majlis undian yang berlangsung di Pusat Seni Persembahan Damansara hari ini, juara enam kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mendapat laluan mudah apabila diundi berada dalam Kumpulan B bersama PJ City FC, PKNP FC serta UITM FC yang menjadi pesaing mereka.

Manakala, juara bertahan Piala Malaysia 2018, Perak pula diundi bersama naib juara Liga Super 2019, Pahang di Kumpulan C di samping kemunculan juara dan pasukan ketiga Liga Perdana 2019, Sabah serta Pulau Pinang.

Kumpulan D pula menyaksikan pasukan Melaka United, Selangor, Felda United FC dan PDRM bakal membuat perhitungan bagi melayakkan pasukan masing-masing ke peringkat seterusnya.

Dua belas pasukan teratas Liga Super dan empat pasukan terbaik Liga Perdana, layak beraksi dalam pertandingan bola sepak tertua tanah air itu.

Saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2019 dijadual bermula pada 3 Ogos ini dengan dua pasukan teratas setiap empat kumpulan layak ke suku akhir yang menggunakan format timbal balik.






Tag: