• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Pihak Berkuasa New Zealand Perlu Bertindak Tegas - MB Terengganu

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

BESUT, 15 Mac - Pihak berkuasa New Zealand digesa bertindak tegas terhadap pengganas bagi menangani insiden serangan bersenjata di dua buah masjid di Christchurch.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kejadian yang turut melibatkan rakyat Malaysia itu perlu disiasat dengan teliti.

Jelasnya, tindakan yang tepat dan berkesan mesti diambil segera bagi mengelakkan perkara sama berulang dengan lebih teruk.

"Kita minta supaya pihak berkuasa New Zealand mengambil langkah yang tegas.

"Ianya bagi menghalang perkara ini menjadi suatu wabak yang lebih berat keadaannya di New Zealand dan Australia yang berhampiran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Jadual 5A Kepada 170 Peserta dari Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Mukim Keluang dan Durian Ubi di Taman Awam Pantai Air Tawar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pegawai Daerah Besut, Rozali Salleh dan Ketua Penolong Pentadbir Tanah Besut, Ahmad Rizal Mamat.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad, Pegawai Penyelaras Parlimen Besut, Dr Riduan Mohd Nor serta Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh.
Menyerahkan jadual 5A kepada peserta RTB.

Ahmad Samsuri turut melahirkan rasa simpati terhadap keluarga rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pengganas di sana.

Beliau berharap agar semua pihak mendengar dan mengikuti segala arahan pihak atasan New Zealand.

"Kita bersimpati dengan mereka dan kita harap seluruh anggota keluarga bersabar, kita berharap bukan rakyat Terengganu.

"Kita harap rakyat Malaysia di sana mendengar arahan pihak berkuasa tempatan di New Zealand," tambah beliau.

Sehingga pukul 3.00 petang tadi waktu Malaysia terdapat dua rakyat Malaysia cedera dalam insiden itu dan kini sedang dirawat di hospital.

Tag: