• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pindahkan 'Pak Belang' Untuk Selamatkan Lembu

SETIU, 2 Julai – Kerajaan Negeri meletakkan tiga fokus utama dalam langkah menangani isu serangan harimau ke atas lembu ternakan di Ladang Sawit Felda Kerteh 4 Dungun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, antara sasarannya adalah menjaga keselamatan peneroka dan binatang ternakan daripada serangan.

“Ketiga, spesis harimau terancam juga kita ingin jaga, melalui tiga jalan ini, konflik akan diuruskan dengan lebih cermat,” katanya ketika ditemubual di Jeti Pengkalan Bubu, Kampung Fikri, pagi tadi.

Katanya, sejak tahun 2019 sehingga kejadian serangan terakhir pada 16 hari lepas, kira-kira 240 ekor lembu milik peneroka telah menjadi korban.

“Kawasan panas itu terletak di pinggir hutan serta terdapat kira-kira 1000 ekor lembu yang diternak secara integrasi dalam ladang ternyata menarik kunjungan Pak Belang untuk bertandang.

“Dari bulan Mei 2021 lagi, Unit Khas Jabatan Perhilitan telah berkampung dalam ladang Felda Kerteh 4 untuk pemantauan 24 jam serta pemasangan kamera infra-red dan perangkap.

“Pergerakan peneroka di ladang telah dihadkan sehingga jam 6 petang sahaja. Penternak dinasihatkan supaya memperbaiki kaedah penternakan dengan memasukkan lembu ke dalam kandang sebelum senja.

Jelasnya lagi, operasi khas Jabatan Perhilitan turut diadakan bagi menangkap dan memindahkan harimau ke lokasi selamat demi keselamatan warga Felda, ternakan dan harimau itu sendiri.

Tambah Dr Azman, Kerajaan Negeri akan membantu warga penternak terkesan melalui tabung bencana pertanian.

“Dua hari lepas, pertemuan bersama agensi peneroka Felda dan pengurusan telah diadakan, pihak kami telah maklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi pengurusan saluran tabung bencana secepat mungkin,” jelasnya lagi.