Pinggirkan Islam, Negara Dalam Bahaya

KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Masalah dalaman serta perpecahan umat Islam hari ini adalah kerana tidak berpegang teguh dengan agama sekali gus menyebabkan kedaulatan negara berada dalam bahaya dan ekonominya dijajah.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu berpunca daripada propaganda barat yang menyebarkan Islamophobia menjadikan umat Islam tidak yakin dengan kesyumulan Islam dalam mendepani cabaran global di zaman ini.

"Berpunca daripada perpecahan rakyat, kejahilan pemimpin dan kelemahan para ulama kerana menganut pelbagai ideologi kerana kejahilan agama sendiri dan menganggap Islam tiada hubungannya dengan cara kehidupan manusia dalam segala aspek.

"Ada kalangan mereka yang kuat beribadat, tetapi memperjuangkan pelbagai ideologi dan teori yang asing daripada Islam yang gagal menyelesaikan masalah selepas memeperoleh kemerdekaan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama 'Kesyumulan Islam Dalam Mendepani Cabaran Global' pada program 'International Summit 2023', di Taman Tamadun Islam Terengganu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, ada pemimpin negara umat Islam pula telah diatur dan dicatur mengikut didikan penjajah.

"Ada pun kumpulan Islam yang asal memperjuangkan kemerdekaan telah disingkirkan oleh negara sendiri serta masyarakat yang jahil.

"Pendikan Islam pula telah dilumpuhkan oleh kepungan penjajah menjadikannya sekadar bertahan dengan mempelajari Islam secara tidak sempurna.

"Bahkan, juga telah melahirkan ramai dalam kalangan para ulama yang tidak memahami cabaran semasa dan asyik berkhilaf dalam masalah guru, berkelahi sesama sendiri, membiarkan musuh bermaharajalela dan tidak bertafaqquh dalam ilmu sehingga termasuk dalam sangkar musuh Islam," ujarnya.

Tambah beliau lagi, masalah itu juga muncul kerana kegagalan ulama dalam memahami cabaran semasa menyebabkan tidak mampu menyatakan Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah dunia hari ini.

"Kerana tidak memahami adanya dalam Islam proses islah dan tajdid bagi menghadapi cabaran baharu," ujarnya.

Oleh kerana itu, Abdul Hadi berkata Islam perlu kembali semula menjadi penyelamat dan perlu diyakini oleh penganutnya sendiri termasuk kalangan ilmuwan barat telah muda sedar kebenaran yang dibawa oleh agama wahyu ini.

"Ramai kalangan ilmuwan barat yang menganalisi perkembangan tamadun manusia selepas kejatuhan tamadun terdahulu.

"Kini mereka mengaku bahawa tamadun islam tidak boleh dimatikan cahayanya dan dianggap sebagai pencabar yang berbahaya kepada Tamadun Barat yang masih wujud dengan segala kelemahannya," ujarnya lagi.


Tag: