• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pinjaman Yayasan Terengganu Dibuka Semula

Ustaz Satiful Bahri (kiri) berinteraksi dengan pelajar Madrasah Moden MAIDAM Besut semalam. Foto - Amirullah Mansor
BESUT, 9 Januari - Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat memberitahu, Kerajaan Terengganu membuka semula peluang mendapatkan pinjaman Yayasan Terengganu (YT) untuk pelajar yang berhasrat melanjutkan pelajaran terutama ke luar negara termasuk dalam bidang perubatan.

"Pelajar-pelajar kita yang terhenti mengikuti pengajian perubatan di luar negara, sekarang kita buka balik untuk pinjaman yuran tanpa riba," katanya ketika bercakap kepada tenaga pengajar Madrasah Moden MAIDAM Besut dalam satu lawatan khas ke madrasah tersebut di sini semalam.

Turut hadir dalam lawatan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim, beberapa pegawai dan kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Ustaz Satiful Bahri Mamat.
Katanya, kerajaan negeri juga membuka peruntukan khas bagi pelajar-pelajar cemerlang untuk mendapatkan biasiswa dan sijil 'Association of Charted Certified Accountants' (ACCA) untuk bidang perakaunan termasuk kos yuran dan saraan bagi mereka yang sepenuh masa mengambil kursus tersebut.

Kerajaan negeri juga bakal memasukkan mata pelajaran vokasional dalam pengajian di madrasah-madrasah tahfiz untuk menggalakkan kolaborasi antara pihak swasta, sekolah rakyat dan kerajaan negeri.

"Jika semua pihak bergabung tenaga, kita akan dapat mencapai matlamat untuk memperkasa dan meningkatkan kecemerlangan dalam bidang pendidikan," jelasnya.

Kerajaan negeri katanya, akan meneruskan program pendidikan yang baik sebelum ini termasuk melahirkan saintis Islam dan lain-lain.

"Kita perlu mempromosikan pendidikan Islam atau berintegrasikan pendidikan konvensional tanpa meninggalkan elemen-elemen Islam dengan menjaga keseimbangan dunia dan akhirat," katanya lagi.

Tag: