• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PINTAR Catat 4,080 Pengguna Bulanan, Sentiasa Ditambah Baik - Ariffin Deraman

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Kerajaan negeri sentiasa menambah baik dan mengesyorkan masyarakat agar memanfaatkan kemudahan akses internet dan perkhidmatan sampingan di Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) yang beroperasi di seluruh negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sehingga Julai 2020, 38 pusat sehenti komuniti tersebut telah menerima jumlah pengguna seramai 16,323 orang.

“Jumlah dan sambutan pengguna amat baik sekali di mana purata bulanan adalah seramai 4,080 orang, kecuali dalam tempoh penutupan sementara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac sehingga 1 Julai lalu.

“Di samping kemudahan internet, PINTAR turut menyediakan perkhidmatan ‘PINTAR Pay’, Ejen Agro Bank serta servis pembayaran bil, tambah nilai kad prabayar dan lain-lain lagi.

“Bagi memastikan kualiti prasarana dan perkhidmatan berjalan lancar, pihak kerajaan telah meluluskan bajet kira-kira RM700,000 untuk penyelenggaran prasarana seperti komputer yang rosak di sesetengah pusat PINTAR. Kita turut merancang pembaharuan lain seperti penambahbaikan papan tanda PINTAR. Keperluan penambahbaikan sentiasa akan diteliti dari semasa ke semasa,” katanya ketika bersiaran di Studio TVDI, petang semalam.

Tambahan lagi, beliau berkata, beberapa PINTAR yang dahulunya mempunyai lokasi kurang strategik dan pengunjung akan dikaji untuk penambahbaikan juga.

“Contohnya, sebuah pusat bersebelahan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai adalah kurang kondusif dan sempit dan sekarang dalam proses pemindahan ke lokasi lebih sesuai di kawasan Pekan Chukai,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Pengoperasian PINTAR bermula dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).