• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pintu Gerbang Kampung Cina Kemaman Dibina

KEMAMAN, 19 September - Sebuah mercu tanda pintu gerbang bagi masyarakat Tionghua akan dibina di Kampung Cina, Kemaman.

Pengerusi Majlis Perniagaan dan Perindustrian China Kemaman, Dato' Soh Kok Hiang mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri yang menghadiahkan mercu tanda pintu gerbang tersebut buat mereka.

"Kemesraan dan semangat jiwa rakyat yang ditunjukkan oleh Yang Berhormat Hanafiah kita telah memupuk hubungan rapat di antara kaum Tionghua tempatan. Hal ini perlu dipuji dan disyukuri oleh kita semua," ujarnya.

Katanya lagi, dengan terbinanya pintu gerbang ini akan menjadi satu mercu tanda bagi masyarakat Tionghua di bandar Cukai ini.

Beliau berkata demikian ketika mewakili masyarakat Tionghua Kemaman dalam Majlis Perasmian Mercu Tanda Pintu Gerbang Kemaman, hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan pemilihan tempat pembinaan di Kampung Cina itu disepakati oleh semua pihak setelah beberapa tempat yang dipilih sebelum itu tidak memenuhi kriteria atau syarat pembinaan yang diluluskan apabila dirujuk kepada beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya dan lain-lain.

"Pembinaan pintu gerbang ini merupakan salah satu janji kerajaan negeri jika PAS memenangi pilihan raya umum (PRU) yang lalu. Hari ini kerajaan negeri menunaikan janji tersebut," katanya.

Mercu Tanda Pintu Gerbang ini dijangka mengambil masa selama dua hingga tiga bulan untuk disiapkan serta melibatkan kos sebanyak RM360,000 dan ditaja oleh anak syarikat milik kerajaan negeri.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Jusman Ibrahim, Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan, Pengerusi Dewan Perhimpunan Tionghua Kemaman, Mr. Lau Sin Tat serta Pengarah Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Ramlan Mahmood.


Tag: