Terengganu Tarik Pelaburan RM3.1 Bilion Melalui ECERDC, Jana Lebih 5,000 Kerja
KUALA NERUS, 3 Jun -Program Jualan Keluarga Malaysia, (PJKM) di Terengganu bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia merekodkan hampir RM60,000 hasil jualan pada hari pertama ia berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan dengan menerima hampir empat ribu pengunjung seawal jam 9 pagi lagi dari seluruh negeri itu.
Katanya, program yang disertai pelbagai agensi dan syarikat itu menawarkan pelbagai pilihan barangan keperluan harian dengan potongan harga sehingga 20 peratus.
" Antara agensi yang terlibat adalah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Koperasi Usahawan Darul Iman, Koperasi Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Persatuan Nelayan Negeri Terengganu, pasaraya Sabasun, MDM Blue Ocean, Pok Awang Agro Farm Empire, Kemamang Pine, Qaseh Aiyaa dan SBA Maju Resources.
"Hari pertama PJKM, kita telah berjaya mencatatkan hasil terbaik dan berharap lebih baik untuk dua hari terakhir,"katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Selaku penganjur program , Shaharuddin turut menyeru seluruh penduduk Terengganu untuk datang beramai-ramai ke tapak jualan PJKM mulai jam 9 pagi hingga 6 petang.
"Pengguna disaran mengambil peluang untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka dengan potongan harga sehingga 20 peratus lebih murah berbanding pasaran biasa.
"Antara barangan dijual sepanjang PJKM berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok ialah daging segar, ayam, ikan sejuk beku, telur, minyak masak paket, beras, gula dan sayur-sayuran," ujarnya.
Sementara itu, sebahagian besar pengunjung yang ditemui menyambut baik program ini dalam merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah.
Dalam masa yang sama, mereka mengakui bahawa harga barangan yang dijual adalah berpatutan serta membantu meringankan bebanan kos sara hidup rakyat yang dilaporkan kian meningkat.