Berita :
PKM Rhu Rendang Bantu Murid Cemerlang Miliki Sijil Kelahiran
PKM Rhu Rendang Bantu Murid Cemerlang Miliki Sijil Kelahiran
Mohamad Norriduan bin Norhizamudin
22 jam yang lepas
56

KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Rhu Rendang mengambil inisiatif membantu seorang murid cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Rhu Rendang mendapatkan sijil kelahiran bagi memastikan urusan pendidikan dan masa depannya tidak terjejas.

Penyelaras PKM Rhu Rendang, Sabri Zakaria berkata, usaha tersebut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kesukaran dihadapi murid berkenaan yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri penting walaupun menunjukkan prestasi akademik yang membanggakan.

“Isu dokumentasi yang dihadapi murid berkenaan telah dikenal pasti sejak hampir setahun lalu dan memerlukan penelitian serta tindakan lanjut oleh pihak-pihak berkaitan sebelum dapat diselesaikan.

“Susulan itu, kita bersama pihak SK Rhu Rendang telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan JPN bagi membantu melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.

“Hasil kerjasama erat semua pihak, sijil kelahiran murid berkenaan akhirnya berjaya dikeluarkan sekali gus membolehkannya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah bagi tujuan pendidikan dan urusan rasmi pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan sijil kelahiran tersebut dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di kediaman Pengerusi JPKK Kampung Kijing, Shauki Senun, semalam.

Majlis penyerahan berkenaan telah disempurnakan oleh Pengarah JPN Negeri Terengganu, Awatif Hannan Md Yusup yang turut dihadiri Guru Besar Sk Rhu Rendang, Abu Riah Daing Pesauk.

Dalam pada itu, Sabri turut merakamkan penghargaan kepada JPN Negeri Terengganu atas kerjasama yang diberikan sepanjang proses berkenaan, selain komitmen pihak SK Rhu Rendang dan kepimpinan Kampung Kijing dalam memastikan kebajikan murid tersebut terus mendapat perhatian.

“Majlis penyerahan ini mencerminkan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam membantu menyelesaikan permasalahan masyarakat, khususnya yang melibatkan kebajikan dan masa depan generasi muda,” ujarnya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan