• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PKP, Fasa Ngeri Buat Peniaga

KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Pandemik yang melanda dunia telah memaksa hampir seluruh negara melaksanakan 'lockdown' di tempat masing-masing termasuklah Malaysia dengan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menjejaskan para peniaga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, ia merupakan satu fasa yang sangat mengerikan terutama kepada para nelayan, petani, dan peniaga kecil kerana pengaliran ekonomi akan teruk terjejas.

Katanya, kesan besar sekiranya dilaksanakan semula PKP tahap pertama kerana pendapatan isi rumah akan terjejas teruk.

"Walaupun pengalaman PKP yang lalu banyak mengajar kita tentang nilai cakna semua pihak, termasuk dana peruntukan sebanyak RM250 bilion daripada kerajaan, namun sebolehnya kita tidak mahu ia berulang lagi kerana masyarakat di semua peringkat akan menanggung peritnya.

"Rata-rata peniaga yang saya temui di sekitar bandar ini melahirkan kebimbangan andai peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 ini memaksa pihak kerajaan laksanakan semula PKP seperti fasa pertama," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semasa meninjau aktiviti peniaga baru-baru ini.

Tegas beliau lagi, semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak dalam peningkatan mendadak kes dalam negara ini perlulah mengambil langkah serius menjaga diri, keluarga, dan masyarakat bagi meredakan kembali pandemik tersebut.

"Mereka yang terbabit sama ada dalam kalangan pemimpin masyarakat ataupun orang ramai terutamanya yang ada sejarah berkunjung ke Sabah baru-baru ini, perlulah mengambil tanggungjawab dengan mewajibkan diri mengikuti segala langkah keselamatan yang telah diarahkan oleh pihak KKM," tambah beliau.

Ahmad Shah turut berharap semua pihak dapat mematuhi garis panduan pencegahan penularan COVID-19 yang ditetapkan oleh KKM serta mengambil panduan dari hadis Nabi SAW tentang kaedah membendung tersebarnya wabak dalam sesebuah negeri di samping munajat yang tidak pernah surut kepada Allah SWT.


Tag: