• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PKP : Kebenaran Pergerakan Boleh Dimohon Dengan Surat Jabatan Pertanian Berkaitan

KUALA TERENGGANU, 5 Jun - Penggiat pertanian dalam negeri kini boleh menggunakan surat pengesahan jabatan atau agensi dalam sektor tersebut untuk mendapatkan kebenaran pergerakan daripada pihak berkuasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) adalah antara kementerian yang dikecualikan daripada mengguna pakai Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 daripada MITI.

"Ini bermakna warga pertanian boleh terus menggunakan surat pengesahan pergerakan dalam tempoh PKP 3.0 dan PKPD daripada MAFI yang telah dikeluarkan sebelum ini. 

"Bagi yang belum memohon, permohonan boleh diajukan di Pejabat Pertanian, Veterinar, Perikanan,Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Peladang dan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) di daerah masing-masing mengikut sektor yang berkaitan," katanya menerusi laman Facebook rasminya, semalam.

Tambahnya, beliau turut menasihati golongan industri tersebut supaya sentiasa menjaga kesihatan diri serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

Sebelumnya, kgeerajaan negeri turut melancarkan bantuan khas input pertanian sebanyak RM300,000 kepada 500 pengusaha cili di seluruh Terengganu dalam menangani kesan ekonomi di musim pandemik ini.