• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PKPB: Lima Sekatan Jalan Raya Di Terengganu

HULU TERENGGANU, 12 Januari - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu akan melakukan sekatan jalan raya (SJR) selama 24 jam di lima lokasi yang diaktifkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) esok.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik, berkata SJR selama dua minggu itu akan melibatkan dua daerah iaitu Kemaman dan Besut.

"Pihak kami akan mengadakan sekatan jalan raya  di sempadan antara Kemaman dengan Kuantan, Pahang iaitu RNR Perasing, Paya Berenjut dan Tol Cheneh manakala di Pachakan dan Tok Saboh di Besut selama 24 jam.

"Tindakan tersebut dilakukan di pintu-pintu sempadan negeri bagi memantau pergerakan keluar dan masuk terutama mereka dari zon merah  dalam usaha membendung penularan koronavirus (COVID-19).

"Oleh itu, saya nasihatkan masyarakat supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan kerana peningkatan kes yang begitu ketara akhir-akhir ni menyebabkan satu kegusaran kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas lawatan pemantauan ke Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, di sini hari ini.

Sementara itu, Rosli berkata pasukan pematuhan rondaan pematuhan SOP juga telah digerakkan di seluruh daerah seperti biasa.

"Pihak kami mempunyai 544 pegawai dan anggota di seluruh daerah untuk menjalankan rondaan di semua tempat bandar kampung taman perumahan dan sebagainya.

"Kita telah melalui PKP ini dari bulan Mac tahun lepas hingga sekarang jadi masing-masing sudah faham tentang SOP, jadi tolong bagi kerjasama kepada pihak berkuasa dan frontliner untuk menjalankan tugas dengan sebaik mungkin,"tambah beliau.

 


Tag: