• 07 Dis 2021 | 2 Jamadil Awal 1443

PKPB : MAIDAM Terengganu Salur Bantuan Khas RM9.6 Juta

KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan bantuan khas sebanyak RM9.6 juta untuk membantu meringankan beban golongan asnaf yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, M Rozi Bidin memberitahu, seramai 24,000 golongan asnaf yang terkesan susulan PKPB akan menerima bantuan khas antara RM300 dan RM500 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR).

Katanya, pengagihan bantuan khas itu akan dimasukkan terus ke akaun KIR selewat-lewatnya Rabu depan.

"Bantuan khas yang akan disalurkan tidak membabitkan pemotongan bantuan bulanan dan bantuan sara hidup.

"Bantuan khas itu diluluskan bagi membantu meringankan bebanan golongan asnaf yang turut terkesan berikutan bencana banjir dan PKPB seperti diumumkan kerajaan, kelmarin," katanya ketika mewakili Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Pengurusan Zakat, Nazli Amirri Ngah.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, kaedah pengagihan bergantung kepada jumlah tanggungan.

"Mereka yang mempunyai tanggungan melebihi tiga orang akan menerima sebanyak RM500 manakala kurang dari tiga tanggungan menerima RM300.

"Ahli majlis mesyuarat MAIDAM memutuskan meluluskan bantuan khas selepas mengambil kira bebanan yang terpaksa dihadapi golongan asnaf yang terkesan susulan bencana banjir dan terbaharu PKPB diumumkan kerajaan membuat persiapan membeli kelengkapan sekolah," katanya.