• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PKPB : Main Futsal, Lapan Remaja Didenda RM8,000

HULU TERENGGANU, 27 Mei - Gara-gara degil bermain futsal di sini ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam, lapan remaja terpaksa membayar kompaun sebanyak RM8,000.

Dalam kejadian pukul 10 malam itu,  kesemua mereka yang berusia lingkungan 15 hingga 20 tahun, dilihat bermain futsal ketika sepasukan anggota polis membuat rondaan di Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Adli Mat Daud berkata, kelapan-lapan remaja terbabit bagaimanapun cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Mereka meninggalkan beberapa buah motosikal serta barang-barang peribadi termasuk telefon bimbit.

"Polis kemudian membawa semua barangan itu ke Balai Polis Kuala Berang untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 1 pagi hari ini (Rabu), semua mereka hadir ke balai polis itu dan seterusnya ditahan untuk siasatan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya sebagaimana dilapor Astro Awani.

Tambah beliau, semua mereka telah dikompaun RM1,000 setiap seorang.


Tag: