• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PKPB : Solat Jumaat Dan Fardu Dibenarkan Bersyarat

KUALA TERENGGANU, 8 November - Solat fardu dan solat Jumaat dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti saiz masjid serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sahaja dibenarkan di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan penguatkuasaan kerajaan bagi menangani penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sudah memperkenankan semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan surau tidak dibenarkan sepanjang PKPB dikuatkuasakan.

"Bagi masjid dan surau yang berada di zon merah, sembahyang fardu lima waktu berjemaah di masjid dibenarkan tiga orang sahaja terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid dan pegawai masjid secara bergilir-gilir, manakala solat jumaat tidak dibenarkan sama sekali," ujarnya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Tambahnya, sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke masa tertakluk kepada arahan pihak berkuasa yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Osman berkata, Sultan Terengganu turut berdoa agar semua rakyat jelata mampu menghadapi saat sukar ini dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.

"Baginda mengharapkan semua rakyat jelata tidak mengambil ringan akan arahan pihak berkuasa dalam menghadapi wabak COVID-19 dan mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

 

 


Tag: