• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PKPB : Solat Jumaat, Jemaah Di Masjid Akan Diperluas

KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Kebenaran solat Jumaat dan solat berjemaah di Terengganu akan diperluaskan daripada lapan masjid sebelum ini kepada lebih 100 masjid mukim.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta persetujuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Katanya, pihaknya sedang berbincang dengan Pejabat Mufti, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan beberapa jabatan berkepentingan lain bagi memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Peringkat kedua ini akan diberi ruang kepada lebih banyak masjid dengan mendahulukan masjid mukim dengan bilangan lebih 100 masjid di seluruh negeri.

“Penglibatan ahli jemaah, termasuk untuk solat Jumaat pada satu-satu masa masih dihadkan kepada 40 orang berbanding di negeri lain ada yang menetapkan 12 ahli jemaah sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika mengadakan lawatan kerja sempena Hari Wartawan Nasional di pejabat-pejabat media perdana sekitar Kuala Terengganu, hari ini.

Mohd Nor turut memberitahu, kebenaran itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, sekiranya keadaan pulih sepenuhnya kelak kerajaan negeri akan mengisytiharkan semua masjid di Terengaanu boleh digunakan seperti biasa tanpa ada SOP.

“Apa yang dilaksanakan sekarang ini masih bergantung kepada SOP, sekiranya tidak dibimbangi umat Islam akan berpusu-pusu ke masjid kerana sudah agak lama merindui suasana untuk solat berjemaah di masjid,” katanya.

Sebelum ini, Terengganu memulakan aktiviti solat Jumaat bermula 22 Mei melibatkan lapan masjid dengan bilangan tidak melebihi 40 jemaah dengan mengambil kira syarat syarat ditetapkan bagi membendung COVID 19.


Tag: