• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PKPD 12 Lokaliti Kemaman, Dungun Dilanjutkan Sehingga 17 Ogos

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun yang sepatutnya berakhir hari ini, dilanjutkan berkuat kuasa esok sehingga 16 Ogos (Mukim Kuala Dungun) dan 17 Ogos (Mukim Bandi) depan.

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan masih terdapat penularan kes berlaku di lokaliti itu.

"Antara lokaliti terlibat di daerah Kemaman adalah Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2. Di Dungun pula, antara lokaliti terlibat adalah Kampung Sungai Buaya, Kampung Tanah Lot, Kampung Lembah, Kampung Padang Jambu, Kampung Nibong, Kampung Bukit Chatak Tengah, Kampung Molek, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Udang dan Kampung Sungai Penaga.

"KKM mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di 12 lokaliti di Dungun dan Kemaman bermula esok," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melaporkan, Terengganu mencatatkan kes positif Covid-19 harian sebanyak 425 kes semalam manakala kes di seluruh negara melebihi 15,000 kes iaitu 15,764 kes.