• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PKPD : 15 Jalan Ditutup Di Mukim Bukit Besar, Serada

KUALA TERENGGANU, 13 Jun – Sebanyak 15 laluan ditutup berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilanjutkan di Mukim Bukit Besar dan Serada bermula hari ini sehingga 26 Jun.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din melaporkan, pihaknya turut membuka lima Sekatan Jalan Raya (SJR) di dua mukim terbabit.

Katanya, empat SJR di Mukim Bukit Besar dilaksanakan di Jalan Masuk Panji Alam dari Simpang Pengadang Akar, Jalan Keluar Panji Alam ke Simpang Pengadang Akar, Jalan Masuk Pasir Panjang dari Gong Kapas dan Jalan Keluar Pasir Panjang ke Gong Kapas.

Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din

“Di Mukim Serada, hanya satu SJR iaitu di Jalan Kepong, tujuan sekatan ini bagi mengelakkan berlaku pergerakan keluar dan masuk kenderaan serta orang ramai di kawasan PKPD berkenaan.

“Pihak polis juga akan membuat rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengenalpasti lorong-lorong yang masih digunakan orang ramai bagi tujuan keluar dan masuk,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, dua balai polis bergerak atau subtek Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuka di Hadapan Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar dan Dewan Sivik Serada.

“Ia khusus bagi memudahkan penduduk di kawasan berkenaan untuk mendapatkan sebarang maklumat atau bantuan hal-hal kecemasan semasa kawalan pergerakan dilaksanakan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan cubaan atau tindakan untuk mengalih, mengubah, melanggar atau merosakkan penghadang jalan (barricade) yang telah ditempatkan di kawasan pkpd boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang.

“Bagi 19 mukim yang lain pula hendaklah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (Pkp 3.0) dan mengurangkan pergerakan kecuali atas sebab dan urusan-urusan yang telah ditetapkan mengikut SOP,” katanya lagi.

Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Pusat Kawalan COVID-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di talian 09-6322377.