• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PKPD Di Mukim Bukit Besar Dan Serada Terkawal

Oleh : Suhaimi Taib/Pak Abbas

KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Bukit Besar dan Serada terkawal dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, perkembangan itu membolehkan pihaknya memantau pergerakan orang ramai dengan lebih berkesan. 

“Alhamdulillah kawalan penguatkuasaan di mukim berkenaan berjalan dengan lancar dan tiada kejadian tidak diingini berlaku dan berharap PKPD di dua mukim berkenaan berakhir selepas tempoh yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) meninjau di pos kawalan polis di hadapan Masjid Sultan Muhammad Bukit Besar di sini dan mendapati beberapa penduduk sekitar berurusan dengan pihak polis untuk tujuan penting ke bandar Kuala Terengganu.

Menurut kenyataan laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) tempoh PKPD di dua mukin berkenaan bermula 13 Jun jam 12.01 pagi dan berakhir 26 Jun ini jam 11.59 malam.

Maklum portal itu lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab melaksanakan kawalan ke atas kawasan tempatan jangkitan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan agensi kerajaan lain yang diturunkan kuasa di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

MKN menjelaskan bahawa semua laluan keluar masuk PKPD ditutup dan semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah atau kediaman masing-masing tanpa tujuan jelas.

“Pengecualian hanya diberikan kepada seorang wakil isi rumah untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas dalam kawasan PKPD atau tempat paling hampir dengan kediamannya sekiranya bekalan keperluan tersebut tiada dalam kawasan PKPD tersebut,” jelas portal itu lagi.

Seorang penduduk berurusan dengan pihak polis di Pos Kawalan Keselamatan di Hadapan Masjid Sultan Muhammad Bukit Besar Kuala Terengganu.
 


Tag: