• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PKPD: Kawalan Ketat Di 10 Laluan Felda Tersat

HULU TERENGGANU, 4 Februari - Polis menutup sepuluh laluan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Tersat  bagi mengelak penduduk menyelinap keluar dan masuk kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, ini termasuk tujuh laluan  tikus di lokaliti berkenaan turut dikawal rapi anggota keselamatan bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk di laluan berkenaan.

"Laluan tikus itu merupakan laluan dalam kawasan ladang dan kita difahamkan terdapat banyak laluan tetapi yang dikenalpasti sering digunakan penduduk ialah sebanyak tujuh laluan sahaja.

"Semua laluan berkenaan termasuk tiga pintu masuk utama dipasang penghadang simen dan kawad berduri.

"Seramai 30 anggota Polis dengan bantuan Rela akan bertugas untuk tiga syif bagi mengawal laluan tersebut sepanjang 24 jam PKPD dilaksanakan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Sekatan Jalan Raya di PKPD Felda Tersat, hari ini.

Mohd Adli berkata, PKPD yang berkuat kuasa pada 4 hingga 17 Februari ini membabitkan 250 keluarga dengan 650 penduduk.

Terdahulu, sehingga 1 Februari 2021, KKM telah melaksanakan 420 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 45 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

Dalam perkembangan yang sama, satu kematian telah direkodkan di Felda tersebut beberapa hari lepas melibatkan seorang warga emas lelaki berusia 73 tahun yang juga merupakan imam di penempatan felda tersebut.

Sementara itu Mohd Adli, berkata pihaknya turut memperketatkan kawalan di satu lagi PKPD di Tapak Projek Pembinaan Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kuala Berang.


Tag: