• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PKPD : KPDNHEP Jamin Barang Keperluan Utama Mencukupi

HULU TERENGGANU, 28 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan barang keperluan untuk penduduk Mukim Kuala Berang yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) cukup untuk menampung apa yang mereka perlukan dalam tempoh pelaksanaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya telah membuat pemantauan malah KPDNHEP negeri sudah mengeluarkan kelulusan kepada Peruncit Daerah Terpilih (DDR) dan Pemborong Daerah Terpilih (DDW) untuk menyimpan lebih 20 peratus daripada had simpanan barangan kawalan.

"Sebanyak 20 DDR dan satu DDW di daerah Hulu Terengganu termasuk di kawasan Mukim Kuala Berang yang dikenakan PKPD berkuat kuasa esok dibenarkan membuat simpanan barang kawalan melebihi 20 peratus daripada had simpanan," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Rosol berkata KPDNHEP juga membenarkan semua pasaraya di kawasan   beroperasi bermula daripada jam 8 pagi hingga 8 malam.

Justeru itu katanya, dakwaan yang tular di media sosial bahawa semua pasar raya di kawasan PKPD hanya dibenarkan beroperasi separuh hari adalah palsu.

Jelasnya, berita palsu yang viral sejak semalam telah menyebabkan berlakunya pembelian barangan keperluan utama secara panik dikalangan penduduk yang terlibat dengan pelaksanaan tersebut

"Kita sudah membuat semakan dengan pelbagai agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mereka menafikan mengeluar notis tempoh operasi pasaraya hanya sehingga jam 2 petang.

"Walaupun kerajaan mengumumkan PKPD di Mukim Kuala Berang berkuat kuasa esok, tetapi ketua keluarga dibenarkan untuk keluar membeli belah barangan keperluan utama termasuk di pasaraya," ujarnya.

Terdahulu dalam satu tinjauan, pengunjung di pasaraya di Bandar Kuala Berang sanggup beratur panjang dan didapati membeli pelbagai barangan secara panik susulan dakwaan pasaraya hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 2 petang.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mukim Kuala Berang dikenakan PKPD berkuat kuasa esok hingga 11 Jun depan susulan berlaku peningkatan kes COVID-19 amat ketara dalam masa yang singkat. 


Tag: