• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PKPD : Masih Ada Penduduk Gemar Keluar Rumah

BESUT, 22 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegur sikap penduduk di daerah ini yang masih gemar keluar rumah meskipun kawasan terbabit dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, sikap sambil lewa dalam penjagaan prosedur operasi standard (SOP) itu termasuk keluar membeli barangan tanpa mengira masa berisiko menyebabkan jangkitan COVID-19 terus menular dalam komuniti.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar merancang pergerakan masing-masing terutama dari segi pembelian barangan keperluan sekali gus mampu membantu kerajaan memutuskan rantaian virus tersebut.

“Saya harap dalam tempoh dua minggu ini, orang ramai bertahanlah dahulu dan keluar hanya apabila perlu atau semasa kecemasan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada sekatan jalan raya (SJR), didapati ada penduduk yang pagi keluar membeli telur, tengah hari membeli bawang dan petang pula membeli ayam, sepatutnya kita rancanglah pembelian,” katanya kepada pemberita selepas melawat SJR Seberang Jertih di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Rozak Muhammad.

Seluruh daerah Besut dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 4 Jun susulan sembilan daripada 17 kluster aktif di Terengganu dikesan membabitkan daerah berkenaan dan menjadi penyumbang kepada peningkatan kes COVID-19.

Dalam pada itu, Roslee berkata, seramai 254 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk polis,  Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dikerah sepanjang PKPD di Besut dengan sembilan SJR yang diadakan di daerah berkenaan.

“Saya merayu semua penduduk di 15 mukim di sini supaya mematuhi SOP ditetapkan kerana tanggungjawab memutuskan rantaian ini bukan peranan barisan hadapan tetapi tanggungjawab setiap individu.

“COVID-19 ini bukan cerita dongeng atau rekaan sebab hari-hari ada kematian dengan 14 kes direkodkan setakat ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri mahu keluarga atau individu yang mengalami kesempitan sepanjang PKPD melaporkan perkara itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri masing-masing.

"Saya mohon yang mana terhimpit untuk berhubung dengan setiap wakil rakyat supaya mereka boleh berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyalurkan bantuan," tambah beliau.


Tag: