• 21 Apr 2024 | 12 Syawal 1445

PKPD : Tiga Penghadang Laluan Tikus Dialih Individu Tidak Bertanggungjawab

KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Penghadang batu yang menutup jalan alternatif memasuki daerah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kuala Terengganu telah dialih oleh individu yang tidak dikenali melibatkan tiga lokasi berbeza, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, kejadian disyaki berlaku pada waktu malam 30 Mei hasil rondaan polis di 10 laluan yang ditutup.

“Hasil siasatan mendapati tiga lorong tikus yang ditutup iaitu di susur keluar Kampung Jeram, laluan Kampung Tiruk (bersempadan Hulu Terengganu) dan Jalan Surau Haji Yaakob (bersempadan Marang) telah berlakunya perbuatan khianat mengalihkan penghadang yang diletakkan polis dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Terengganu.

“Mereka yang tidak bertanggungjawab ini dipercayai menggunakan motosikal bagi merentas daerah dan juga daripada penduduk setempat, kertas siasatan telah dibuka bagi mengesan individu terlibat,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di susur keluar kampung jeram, pagi tadi.

Abdul Rahim menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan keras mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan boleh jatuhkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, hasil tinjauan polis di lokasi sama turut mengenakan kompaun dan saman kepada beberapa individu yang rentas daerah menggunakan lorong tikus (Jeram Tepoh ke Jeram Manir) serta kesalahan lain seperti menunggang motosikal tanpa topi keledar.

“Jika ada dikalangan mereka yang didapati bersalah merentas daerah tanpa kebenaran sah juga akan dikenakan kompaun sebanyak RM5000, diharapkan agar masyarakat boleh beri kerjasama dalam sama-sama memutuskan rantaian COVID-19,” tambah Abdul Rahim.

Untuk rekod, sebanyak sembilan sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama di Kuala Terengganu dilaksanakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa sehingga 12 Jun bagi mengekang peningkatan virus dalam bandar raya itu.