• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Plat UMT 1 Cecah RM55,000

KUALA NERUS, 5 Julai - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menawarkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas kepada orang awam, termasuk hampir 32,000 alumni universiti itu bermula hari ini.

Penjualan nombor pendaftaran khas kenderaan itu adalah inisiatif Persatuan Alumni UMT dan UMT Jaya Holding Sdn Bhd untuk menjana pendapatan, memperkukuhkan geran penyelidikan dan pembangunan.

Naib Canselor universiti itu, Prof Dato' Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata pihaknya menyasarkan perolehan kira-kira RM5 juta sekiranya nombor yang ditawarkan bermula UMT 1 hingga UMT 9999 itu dapat dijual.

Katanya, bidaan fasa pertama secara dalam talian itu bermula hari ini dan berlanjutan sehingga 12 Julai depan .

“Pendekatan itu memberi peluang kepada kakitangan, alumni, komuniti dan orang awam untuk memiliki secara ekslusif nombor pendaftaran khas kenderaan UMT.

“Setiap bidaan nombor yang dikategorikan kepada Platinum RM55,000,  Golden RM20,000, Super Silver RM5,000 dan Silver RM300 itu boleh dibuat melalui laman sesawang ebida.umt.edu,my," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Nombor Khas Kenderaan di UMT, di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Alumni UMT,  Mohd Khairul Hakimi Mohd Nawi.


Dr Nor Aieni turut memberitahu, nombor bidaan yang berjaya dibida sah didaftarkan dalam tempoh 12 bulan selepas tarikh keputusan bidaan berjaya dikeluarkan.

“Saya berharap orang ramai, terutama alumni dan kakitangan UMT mengambil peluang apa yang ditawarkan itu, bukan sahaja dapat nombor eksklusif, apa yang penting membantu menambahkan dana,”katanya.


Tag: