• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Plywood Permint Sdn. Bhd Bakal Bernafas Kembali

Yb Maliaman meninjau Kilang Papan Lapis (Plywood Permint Sdn. Bhd)  Kawasan Perindustrian Al-Muktafi Billal Shah, Dungun di sini, hari ini.

Oleh : Adli Mohamad dan Khairuddin Yusoff

DUNGUN -  Kilang Papan Lapis (Plywood Permint Sdn. Bhd) yang merupakan salah sebuah anak syarikat negeri, akan diberi nafas baharu dan dimajukan semula oleh pihak kerajaan Terengganu.

Kilang yang telah lama terbiar akan dihidupkan kembali dan bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata perlantikan beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah Permint Plywood Sdn. Bhd merupakan satu taruhan dan kepercayaan pihak kerajaan  kepadanya bagi memulihkan semula kilang tersebut.

"Kita merasa satu kerugian, jika  tidak dimajukan kembali dengan segala kemudahan dan peralatan yang masih ada (mampu berfungsi) kerana ianya berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi keuntungan kepada kerajaan negeri.

"Dan ia juga boleh mengajak balik, anak-anak Terengganu di perantauan yang berhijrah disebabkan tiada peluang pekerjaan boleh dipanggil pulang agar dapat memberi khidmat bagi memajukan negeri," katannya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui  Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas meninjau kilang berkenaan, di Kawasan Perindustrian Al-Muktafi Billal Shah, Dungun di sini, hari ini.



Menurutnya lagi, kayu balak yang dijual setelah diproses bagi dijadikan kayu lapis adalah lebih tinggi berbanding dijual secara mentah.

Beliau juga meletakkan harapan kepada Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang mempunyai pengalaman sebagai kakitangan di kilang tersebut untuk membantu merealisasikan perkara tersebut.

Ghazali (dari kanan) menunjukkan papan lapis yang terdapat di kilang berkenaan.

Sementara itu, Ghazali Sulaiman yang turut hadir dalam tinjauan itu berkata pemilihan ADUN Ajil itu sebagai Ahli Lembaga Pengarah diyakini mampu memberi cahaya serta mengembalikan zaman kegemilangan sebagaimana di zaman beliau bertugas di situ.

"Kilang ini banyak menyimpan kenangan kepada saya, saya mula bekerja disini pada tahun 1988 dan tamat pada 2004 kerana operasi kilang dihentikan.

"Pada ketika itu, tenaga kerja seramai 650 orang dan kilang ini beroperasi dengan dibahagikan kepada tiga sesi selama 24 jam manakala pekerjanya datang dari seluruh Dungun yang berulang alik dengan menaiki bas datang bekerja," jelasnya.

Beliau mengharapkan apabila kilang itu kembali dipulihkan, ianya juga akan turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Insya Allah, semoga ianya memberi sinar baru kepada kerajaan negeri, dalam memastikan Terengganu menjadi sebuah negeri yang maju, serta mampu menyaingi negara-negara maju yang lain.

"Apa yang penting, masalah pengangguran yang membawa kepada permasalahan sosial, secara tidak langsung dapat dihentikan dan seterusnya hasrat kerajaan negeri menjadi sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera dapat direalisasikan," tegasnya.

Tag: