• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PM Mohon Maaf, Terpaksa Tampil Jelaskan Kedudukan Kerajaan

KUALA  TERENGGANU 4 Ogos - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kerana terpaksa tampil dan menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional dan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Beliau turut mendedahkan lapan orang Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepadanya.

Namun menurut Muhyiddin, beliau masih lagi mempunyai majoriti dan tidak akan meletak jawatan.

“Mengikut Perkara 43 (4) dalam Perlembagaan Persekutuan, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.

“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” ujarnya ketika menyampaikan Perutusan Khas, hari ini.

Sementara itu, katanya, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.

Jelasnya, beliau akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.

“Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan.

“Saya menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para frontliners, agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau sedia maklum ada segelintir pihak yang kurang senang dengan ketegasannya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka. 

“Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” ujarnya.