• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PM Perlu Jujur Bercakap Soal Pengukuhan Mata Wang

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim diminta telus ketika mengulas kedudukan ringgit yang memberi kesan terhadap perbelanjaan negara.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ringgit yang terus menurun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pastinya memberi kesan berikutan kadar import negara melebihi eksport.

“Bukan sahaja produk makanan yang kita masih bergantung kepada import, produk lain dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan turut melibatkan kontrak luar negara yangg sebahagian besar diikat dalam matawang asing terutamanya dolar AS.

“Projek kerajaan akan menanggung kos lebih tinggi jika melibatkan bahan yang diimport dengan memberi kesan prestasi kemajuan projek projek pembangunan yang dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meneliti jawapan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan terhadap soalan lisan yang ditanya beliau dalam Sidang Parlimen.

Amzad yang juga bekas menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menegaskan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Rezab Persekutuan AS yang lebih tinggi menyebabkan pegangan mata wang itu menjadi tumpuan. 

“Dengan kedudukan tersebut yang empat mata lebih tinggi daripada Bank Negara Malaysia, sudah tentu tumpuan pasaran mata wang untuk memegang lebih dolar AS kerana memberi pulangan ebih baik dari ringgit.

“Ini akan terus melemahkan nilai ringgit kerana pasaran modal lebih tertarik memegang ‘US Stock Bonds’,” tambahnya.

Beliau menuntut Perdana Menteri memberikan maklumat dan penjelasan yang lebih terperinci dengan kenyataan bahawa dolar AS mengukuh tinggi tidak menjeaskan pendapatan dan poerbelanjaan kerajaan.


Tag: