• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PM Terus Komited Bantu Rakyat

PUTRAJAYA, 16 Julai - Kerajaan Malaysia terus komited membantu rakyat dan meringankan beban orang ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dengan melaksanakan Bakul Prihatin Negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia dijayakan dengan kerjasama sektor korporat yang sehingga kini telah menghimpunkan jumlah sumbangan sebanyak 21 juta sebagai dana permulaan yang memberi manfaat kepada 1.68 juta rakyat di seluruh negara.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Yayasan Petronas atas sumbangan sebanyak RM 5 juta, AEON (RM 4 juta), Pharmaniaga (RM 3 juta), serta Tenaga nasional Berhad dan Telekom Malaysia masing-masing menyumbang RM2 Juta.

"Sebagai komitmen di pihak kerajaan pejabat saya juga menyumbang sebanyak RM5 juta. Saya berharap lebih banyak syarikat korporat akan tampil memberi sokongan selepas ini, agar lebih ramai yang memerlukan dapat dibantu," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara di Kompleks kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Putrajaya, baru-baru ini.

Katanya, rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan bantuan berkenaan boleh menghubungi talian kasih di 15999, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah di seluruh negara atau whatsapp ke talian 019-2615999.

"Permohonan juga boleh dibuat terus melalui Media Sosial Rasmi (Facebook/ Twitter/ Instagram KPWKM). Maklumat lanjut seperti Soalan Lazim (FAQ), borang dan carta alir permohonan serta nombor telefon Bilik Gerakan JKM boleh diperolehi dengan melayari sesawang HTTP://www.jkm.gov.my," jelasnya.

Ujar Perdana Menteri lagi, Sukarelawan Skuad Prihatin Negara di bawah kendalian JKM telah bersedia untuk memudahkan proses menghantar bantuan kepada pemohon sebaik sahaja program berkenaan diaktifkan bermula Isnin depan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof  berkata, bantuan berkenaan  adalah menyeluruh kepada masyarakat yang sedang menghadapi situasi ekonomi terjejas tidak hanya memberi tumpuan kepada golongan B40.

"Semoga dengan kerjasama antara kerajaan dan syarikat korporat yang terbentuk ini menjadi contoh terbaik berkonsepkan 'whole of society' kepada seluruh masyarakat untuk terus cakna dan prihatin bagi saling bantu membantu  diantara satu sama lain," ujarnya.


Tag: