KUALA TERENGGANU, 23 April - Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) telah diberi kepercayaan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai badan pelaksana bagi projek-projek pemulihan perumahan.
Juga diberikan kepercayaan untuk penyempurnaan dokumen perundangan seperti Certificate Of Fitness For Occupation (CFO) atau Certificate OF Completion and Compliance (CCC) yang tertangguh dengan peruntukan sebanyak RM3.3 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Dato' Wan Adnan Wan Derahman berkata, inisiatif itu bukan sahaja akan menyelamatkan projek terbengkalai tetapi juga memberi sinar harapan kepada pembeli dan menyokong aspirasi kerajaan untuk menyediakan perumahan yang selamat dan berkualiti kepada rakyat.
"Skop kerja utama PMINT sebagai badan pelaksana merangkumi membuat semakan awal dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan status semasa projek serta syarat-syarat teknikal yang diperlukan bagi memperolehi CFO/CCC.
"Menyemak status semasa perunding atau syarikat perunding (PSP)atau arkitek asal serta mendapatkan 'release letter' sekiranya diperlukan juga melantik PSP atau arkitek baharu bagi penyediaan pelan dan dokumen teknikal untuk kelulusan PBT.
"Melaksanakan proses perolehan melalui sebut harga, inden kerja atau tender bagi pelaksanaan kerja-kerja fizikal di tapak mengikut keperluan atau komen teknikal PBT,"ujarnya semasa sidang medianya di Majlis Pelancaran Logo 60 tahun PMINT Bertemakan Membina Masa Hadapan, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, kelmarin.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar juga merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PMINT.
Menurut Wan Adnan antara projek yang sedang dalam pelaksanaan pihaknya sebagai badan pelaksana membabitkan Taman Semarak (Kuala Nerus), Ibai Golf Home Resort (Kuala Terengganu), 31 unit teres setingkat Taman Mega 1 (Kertih, Kemaman).Taman Dato' Ibrahim (Marang) dan Projek Sungai Kerak ( Marang).