• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PMINT Meterai MoU Pajakan Tanah Dengan Nilai Pelaburan RM2.5 Bilion

KUALA TERENGGANU, 15 Mac- Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Xinda Development Sdn. Bhd. bagi pajakan tanah untuk membangunkan zon perindustrian baharu di Cheneh, Kemaman yang akan dikenali sebagai kawasan perindustrian Cheneh Baharu (tambahan).

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pembangunan kawasan baru itu akan dijalankan secara berfasa oleh syarikat pelabur dari China itu diatas tanah pajakan yang dibenarkan oleh kerajaan negeri selama 60 tahun.

"Fasa pertama melibatkan pajakan tanah berkeluasan 70.485 ekar bagi pembangunan kilang 'finished produk factory', semi finished factory' dan ruang pejabat.

"Xinda Development Sdn. Bhd. akan membangunkan kawasan tersebut bermula tahun ini dengan industri berasaskan produk seramik kuartz dan perlombongan dengan anggaran nilai
pelaburan bagi fasa satu bernilai RM600 juta dan menjana 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dalam tempoh lima tahun, " ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan MoU tersebut yang berlangsung di Hotel Paya Bunga, semalam.

Pada majlis itu, Permint Granite Sdn Bhd (Permint Granite) yang merupakan anak syarikat PMINT turut memeterai MoU bersama MyMineral Sdn Bhd. untuk membangunkan kuari kuartz juga di Cheneh, Kemaman. 

Sementara, Xinda Development Sdn Bhd pula menandatangani 'Letter of Intent' dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan melibatkan perdagangan, pelaburan serta nanoteknologi. 

Tengku Hassan berkata, bahan mentah daripada kuari itu akan dibekalkan kepada pengilang di kawasan pembangunan yang dibangunkan oleh Xinda Development Sdn Bhd.

Menurut Tengku Hassan, perancangan pembangunan pihak Xinda Development Sdn. Bhd. bagi keseluruhan fasa akan melibatkan nilai pelaburan berjumlah RM2.5 bilion dengan mewujudkan sehingga 3,800 peluang pekerjaan.

"Ianya merangkumi perancangan pembangunan kilang finished product factory' dan 'Cheneh High Tech Park' pada masa hadapan yang sekaligus mampu meningkatkan pembangunan kepada kawasan sekitar, " ujarnya.