• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PMINT Sasar Peroleh Pendapatan RM100 Juta Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 1 Februari – Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri (PMINT) melalui sembilan anak syarikatnya menyasarkan perolehan pendapatan sebanyak RM100 juta tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Wan Adnan Wan Derahman,berkata PMINT optimis dapat mencapai sasaran itu berdasarkan perolehan pendapatan kesemua anak syarikatnya sepanjang tahun lalu adalah sebanyak RM60 juta.

Katanya, sebahagian besar perolehan pada tahun lepas disumbangkan oleh anak syarikatnya iaitu PB Hotel Management Sdn Bhd.

Justeru itu, pada tahun 2023, pihak PMINT sedang menjalankan penyusunan semula operasi dan strategi  beberapa syarikat yang berpotensi menjana keuntungan termasuk P-Excell Management Sdn Bhd, Pertima Terengganu Sdn Bhd dan Taman Tamadun Islam (TTI) Management Sdn Bhd.

"Penyusunan semula strategi dan operasi beberapa syarikat yang memang sudah mendapat keuntungan akan ditingkatkan bagi menjana pendapatan kepada kumpulan PMINT tahun ini.

“Contohnya, pemilihan TTI Management Sdn Bhd sebagai hub pelancongan ke Pulau Redang menampakkan keuntungan walaupun sebelum ini bergelut untuk menghasilkan keuntungan disebabkan kos operasi yang agak tinggi.

“Anak syarikat lain, Pertima walaupun telah  menjana keuntungan, tapi dengan penyusunan balik semula strategi pemasaran disamping menembusi pasaran luar negara, saya yakin syarikat ini memperolehi keuntungan yang membanggakan,” katanya kepada pemberita  selepas merasmikan majlis makan malam Kumpulan PMINT 2022 di sini, semalam.

Dalam masa yang sama, PMINT melalui P-Excell Management Sdn Bhd sebagai agensi utama menerajui industri perumahan akan meninjau peluang lain dalam pembinaan bandar-bandar baru dan kekal sebagai peneraju sektor hartanah utama di negeri ini.

Tambah beliau, sektor hartanah dan perumahan dijangka mampu memberi pulangan sebanyak 40 peratus kepada syarikat tahun ini.

“Antara projek yang berpotensi besar adalah di Bandar Baru Kerteh membabitkan pembangunan kira-kira 500 unit rumah bertingkat dan  kita boleh kerjasama dengan kawasan industri minyak dan gas yang telah maju seperti di Teluk Kalong, Kemaman.

"Sekarang ini kita lihat tidak ada satu bandar satelit  yang menyokong perkembangan residensi di Kertih dan projek ini adalah peluang untuk syarikat menerajui sektor perumahan dan pembangunan hartanah dengan berjaya di situ," katanya.