• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

PNK Besut Terima Bot Bubu, Sasar Pendaratan Lebih Banyak

BESUT, 15 Ogos - Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut menyasarkan lebih banyak pendaratan ikan dengan menggunakan bot bubu baru yang diterima persatuan itu melalui Skim Pinjaman Pembangunan Institusi Nelayan (SPIN) di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), hari ini.

Pengerusinya, Tengku Harun Tengku Ismail berkata, bot Kelas C itu ibarat satu bonus kepada nelayan-nelayan di PNK Besut berikutan ia berkemampuan digunakan pada musim tengkujuh nanti.

Tengku Harun.

"Terima kasih kepada LKIM kerana mengeluarkan pinjaman ini. Kami telah buat perancangan jadi kami yakin bahawa dari segi sektor perikanan bot bubu ini kami boleh mencapai penghasilan lebih banyak dan boleh menjana penghasilan kepada persatuan.

"Sebelum ini, kami sudah ada sebiji bot yang menjadi 'batu loncatan' untuk memperolehi bot kedua ini. PNK Besut menyasarkan untuk mendapatkan tiga bot bubu keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Bot Bubu PNK Besut di Komplek LKIM daerah itu, hari ini.

Penyerahan tersebut disampaikan oleh Pengerusi LKIM, Dato' Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Faisal yang hadir bersama Ketua Pengarah LKIM, Othman Abdul Latif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Syed Abu Hafiz (berbaju biru) melekatkan no pendaftaran bot diperhatikan Tengku Zaihan (kanan) dan Othman (dua dari kiri).

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin memaklumkan bahawa pihak LKIM menyediakan dana untuk mereka yang berusaha menambah bot baru ke dalam industri.

"Tahun lepas, kita memperuntukkan sebanyak RM7 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di mana kita mendapat dana keseluruhan berjumlah RM34 juta.

"Pada tahun ini, kita ada RM6 juta dan kita sudah keluarkan sebanyak RM2.2 juta untuk pembinaan empat buah bot bagi nelayan di Terengganu dan Kedah," jelasnya.

Menurutnya lagi, bot yang diserahkan kepada PNK Besut merupakan bot kedua mereka di bawah skim berkenaan melalui pinjaman sebanyak RM550,000 dengan kadar faedah terendah iaitu dua peratus daripada LKIM dengan pembayaran selama enam tahun.

Slipway di LKIM Besut.

"Faedah yang rendah ini sebagai galakan kepada industri perikanan.Dana SPIN merupakan sokongan kepada persatuan nelayan.

"Tahun ini sahaja kita telah menerima lebih 20 permohonan bantuan pinjaman bot, namun kita baru luluskan empat. Kebanyakannya untuk pembaikan dan menaik taraf bot-bot," katanya.

Tambahnya, LKIM memerlukan lebih banyak lagi pendaratan untuk menjamin keperluan protein rakyat Malaysia.

"Kalau untuk kegunaan rakyat, kita memerlukan setahun 1.4 juta tan dan sekarang kita mencapai angka tersebut. Cuma kita mahu kawal supaya tidak berkurang," katanya.
 

 

 

  


Tag: