• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Pohon Tanah Untuk Pertanian Komersial Libat HSK Tidak Akan Dipertimbangkan - Dr. Azman



KUALA TERENGGANU, 28 Mei- Kerajaan negeri menegaskan permohonan tanah untuk sebarang projek pertanian komersial termasuk pembukaan baru kawasan pertanian di negeri ini tidak akan dipertimbangkan sekiranya melibatkan Hutan Simpan Kekal (HSK).

Katanya, langkah itu perlu bagi memelihara ekosistem semulajadi dan biodiversiti yang tetap menjadi keutamaan kerajaan walaupun dalam mengejar kemajuan dan pembangunan negeri.

Bagaimanapun katanya, hutan simpan yang dikategorikan sebagai hutan pengeluaran diizinkan untuk aktiviti pembalakan tetapi hutan simpan perlindungan mesti dikekalkan tanpa diusik.

Menurut beliau, keluasan tanah berhutan di Terengganu berjumlah 652,918 hektar iaitu 50.39 peratus daripada keluasan negeri sementara tanah tidak berhutan seluas 642,682 hektar atau 49.61 peratus dari keseluruhan luas tanah Terengganu.

“Daripada 652,918 kawasan tanah berhutan, seluas 542,411 hektar atau 83 peratus merupakan HSK.

“Sepanjang masa, paling kurang 50 peratus dari keluasan negeri mesti dikekalkan sebagai tanah berhutan. Dengan 50.39 peratus negeri kita masih diliputi hutan, kita masih berada pada tahap yang selamat,” ujarnya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Dr. Azman berkata, daripada 542,411 hektar kawasan HSK, seluas 414,210.43 hektar atau 76.4 peratus ialah hutan pengeluaran manakala 128,200.57 hektar ialah hutan perlindungan.

Katanyaa, kelestarian kawasan hutan mesti dipelihara demi khazanah yang tidak ternilai di dalamnya dan apa sahaja aktiviti ekonomi yang melibatkan penerokaan kawasan hutan tertakluk kepada garis panduan dan peraturan yang ketat.

Tag: